Perutusan Pengarah

Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah

Isnin, 18 Disember 2017

 

 

 


PERUTUSAN
Y. BHG. DATUK JAME ALIP
PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI SABAH
SEMPENA
MESYUARAT PENGURUSAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH
BILANGAN 1 TAHUN 2015
Tarikh : 4 – 6 FEBRUARI TAHUN 2015

GRAND BORNEO HOTEL, 1 BORNEO KOTA KINABALU


 

 

 

Bismillahir Rahmaanir Rahiim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia.

 

·       Yang dihormati saudara pengacara majlis

·       Yang Berusaha Puan Hajah Maimunah Haji Suhaibul,

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah

·       Yang Berusaha Encik Aslie Sahat, Ketua Sektor Jaminan Kualiti merangkap Ketua Urus setia Mesyuarat

 

·       Yang Berusaha Ketua-ketua Sektor, Ketua Nazir Negeri, Ketua Penolong Pengarah BTPN, Pegawai Pendidikan Daerah

·       Urus setia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.

1.          Syukur Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi  kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama dalam Mesyuarat Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Bil.1 tahun 2015. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga pendidikan atas komitmen dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dan pencapaian cemerlang yang dicatatkan sepanjang tahun 2014. Saya berharap semoga momentum ini dapat terus dikekalkan dan dipertingkatkan serta dapat memotivasikan kita ke arah transformasi yang lebih cemerlang pada tahun 2015.

 

2.          Sedar tak sedar kita sudah masuk minggu pertama bulan Februari tahun 2015. Untuk memastikan kita mencapai KPI sebagaimana yang telah kita tetapkan, kita  hendaklah bermula dengan betul. Jika kita bermula dengan betul, pasti kita berakhir dengan betul. Jika permulaan kita tidak betul pasti pengakhirannya tidak betul. Saya percaya semua pihak khususnya yang melibatkan semua lapisan kepemimpinan pendidikan negeri, daerah dan sekolah telah menyiapkan perancangan masing-masing dengan mengambil kira agenda terbesar pendidikan negara iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

 

3.          Saya mengharapkan semua lapisan kepemimpinan akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik-baik mungkin melalui perancangan yang sistematik dan berfokus bagi merealisasikan hasrat Jabatan untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan Negeri Sabah.  Bagi tahun ini, kita masih memberikan fokus utama kepada peningkatan prestasi UPSR kerana lonjakan prestasi pada tahun lepas (2014) iaitu mencapai 51.09% dengan GPN 2.71 telah membakar semangat warga JPN Sabah dan menuntut kita untuk memastikan strategi yang lebih tepat dan berfokus bagi mengapai kejayaan yang lebih besar.  Keupayaan kita berganjak  ke kedudukan yang lebih baik adalah tidak mustahil kerana prestasi kita dalam peperiksaan UPSR 2014 amat memberangsangkan. Kejayaan terkini kita kecapi apabila analisis band sekolah rendah tahun 2014 menunjukkan JPN Sabah telah berjaya mencapai KPI dari segi peningkatan bilangan sekolah band 1 & 2 sebanyak 183 buah berbanding KPI sebanyak 161. 

 

4.          Prestasi cemerlang tahun 2014 membuktikan bahawa melalui usaha gigih, berkerja secara berpasukan, berfokus dan melaksanakan strategi yang berkesan, kita mampu mengubah status kita pada takuk yang lama. Tahniah dan terima kasih kepada semua lapisan kepimpinan khususnya kepada semua Ketua Sektor, PPD, pengetua dan guru besar serta kepada semua guru yang telah memungkinkan kejayaan ini menjadi realiti.

 

5.          Tema Mesyuarat Pengurusan kita pada kali ini ialah  “Mencabar Kemustahilan, Mencipta Keunggulan, Mewariskan Legasi”. Tema ini dipilih bersesuaian dengan tuntutanPelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Melonjakkan kecemerlangan pendidikan di negeri Sabah adalah kemustahilan yang boleh diubah. Lonjakan prestasi peperiksaan UPSR JPN Sabah bagi tahun 2014, keupayaan kita mensifarkan sekolah rendah dan menengah band 7, dan kecemerlangan prestasi kokurikulum tidak berlaku dengan sendirinya. Sebaliknya, lonjakan ini telah melalui proses mencabar status quo (selalu disebut”andang-andang”) dan menyanggah pendekatan konvensional melalui keberanian menampilkan idea unik di luar kotak pemikiran dan bertindak ke arah mencapai hasrat tersebut. Tahun 2015 merupakan tahun akhir, sebelum kita memasuki Gelombang Kedua PPPM pada tahun 2016. Sesungguhnya kejayaan pelaksanaan transformasi pendidikan adalah menjadi tanggungjawab semua warga JPN. Peranan kita di peringkat Jabatan, PPD dan sekolah perlulah jelas dan berfokus untuk memacu pelaksanaan program-program pendidikan.  Justeru, pendekatan yang kita gunakan perlu dibuat secaraberfokus dan bersifat strategik. 

 

6.          Pendekatan strategik bukan setakat meletakkan bidang-bidang tertentu untuk menjadi fokus hala tuju kerana setiap bidang atau fokus yang ditentukan tentunya berlandaskan hasrat untuk mengatasi masalah pokok dan kritikal yang dikenal pasti sebagai isu strategik. Isu strategik ialah punca sebenar kepada segala cabang dan rantaian masalah. Kualiti kepimpinan strategik juga memerlukan keupayaan pemimpin untuk berfikiran strategik, bertindak proaktif dan berfokuskan kualiti.  Dalam hal ini juga, pemimpin pendidikan perlu menguasai kemahiran teknikal, prosedur (SOP) dan bersifat analitikal. Pemikiran sebegini menjadi asas utama dalam KBAT (HOTS) dan amat diperlukan bagi memastikan anjakan ke-6, PPPM iaitu mengupayakan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berdasarkan keperluan dapat direalisasikan.

 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

7.          Pada tahun 2015 JPN Sabah akan terus komited untuk memastikan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dapat dilaksanakan sepenuhnya dan KPI Gelombang Pertama PPPM (2013 – 2015) dapat dicapai. Bagi mencapai aspirasi PPPM dan Program Transformasi PPD (DTP), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah dan sedang melaksanakan pelan tindakan melalui SPEED (Perancangan Strategik JPN Sabah) dan SKT JPN Sabah. Fokus ini juga mengambil kira keperluan khusus JPN Sabah.

 

8.    Pada tahun 2015, JPN Sabah akan meneruskan 24 fokus  sepertimana tahun 2014 dengan menambah satu lagi fokus menjadi 25 yang telah mengambil kira keperluan PPPM, Program Transformasi PPD (DTP) dan SPEED seperti yang terkandung di dalam Sasaran Kerja Tahunan (SKT) JPN Sabah tahun 2015 seperti berikut:

 

8.1      Peningkatan Prestasi Peperiksaan Awam

8.2      Program TransformasiPPD(DTP)

8.3      LINUS 2.0

a.              Literasi

b.              Numerasi

c.               Literasi Bahasa Inggeris (LBI)

8.4      Standard Garis Asas Infrastruktur

8.5      Peningkatan Enrolmen dan Kualiti Prasekolah

8.6      Pencapaian sebanyak 60% daripada semua sekolah yang menduduki Pentaksiran Kompetensi Literasi Sains dan Matematik (PKLSM 2) mencapai sekurang-kurangnya Skor 50 ke atas.

8.7      Pemantapan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti

8.8      Sekolah Berprestasi Tinggi

8.9      Pemantapan Pengurusan Kewangan dan Akaun di

         Peringkat JPN Sabah, PPD dan Sekolah

8.10  Pelaksanaan Projek Pembangunan Fizikal Institusi

 Pendidikan: RP3 dan RM Ke-10

8.11  Pemantapan Kepimpinan dan Pengurusan Sekolah

8.12  Pemantapan Sistem Pengurusan Kualiti di JPN dan PPD

  Sabah

8.13  Pemantapan Sistem Penyampaian dan Pengurusan Maklumat Yang Berkesan

8.14  Pengurangan Kadar Ponteng dalam Kalangan Murid

 Sekolah

8.15  Pembangunan Sukan dan Kokurikulum

8.16  Peningkatan Penguasaan Asas Pendidikan Islam Sekolah

  Rendah

8.17  Peningkatan Kualiti Sekolah-Sekolah Agama di Sabah

8.18  Pemantapan Pengurusan Pelaksanaan Modul-Modul

  HRMIS di Semua Peringkat

8.19  Pemantapan Pematuhan Pengurusan dan Pengendalian

  Peperiksaan Awam dan Pengurusan Pentaksiran

  Berasaskan Sekolah (PBS)

8.20  Pemantapan golongan Pendidik dan AKP melalui program psikologi dan kaunseling

8.21  Pencapaian Program AKUN

a.              Pemantauan Bersepadu

b.              Pemantauan Bersilang

8.22  Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

  & PBS

8.23  Pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan

8.24  Program Guru Penyayang

8.25  Pembelajaran Abad Ke 21

 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

9     Fokus ke 25 iaitu Pembelajaran Abad 21 memberi penekanan kepada aspek kemenjadian murid supaya dapat berhadapan dengan cabaran global dan bersaing untuk meneruskan kehidupan yang bermakna.  Dalam pembelajaran abad ke-21, ilmu pengetahuan yang diajar kepada murid bukan semata-mata berasaskan kandungan ilmu teras sesuatu disiplin tetapi merentas ilmu daripada pelbagai tema seperti kesedaran global, literasi kewangan, ekonomi, perniagaan dan keusahawanan, literasi kesihatan dan didedahkan dengan pelbagai kemahiran pembelajaran dan kehidupan.  Ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang dikuasai bukan setakat berguna semasa proses pembelajaran di sekolah, tetapi lebih penting daripada itu dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian apabila berhadapan dengan pelbagai masalah di luar alam persekolahan.  Kesemua 25 fokus Jabatan hendaklah dijadikan fokus Sektor, PPD dan sekolah dalam melaksanakan tugas pada tahun ini.

 

9            Saya ingin mengingatkan tuan-tuan dan puan-puan bahawa pada tahun ini KPI Gred Purata Negeri UPSR JPN Sabah ialah 2.20 (65%), SPM ialah 4.70 (92%) dan STPM PNGK 2.60 (95%). KPI tinggi yang telah ditetapkan ini adalah satu cabaran besar kepada JPN, PPD dan sekolah. Oleh hal yang demikian, saya meminta semua lapisan kepemimpinan pendidikan dan semua guru agar melipatgandakan usaha, mengatur strategi yang tepat dan merancang serta melaksanakan program-program yang berimpak tinggi bagi merealisasikan KPI tersebut. Kunci dan asas untuk mencapai hasrat ini tentulah terletak pada kualiti PdP guru di bilik darjah dan pengurusan kurikulum yang mapan. Dengan erti kata yang lain, kita perlu kembali ke asas (back to basic) dengan berpegang kepada prinsip Guru Mengajar, Murid Belajar. 

 

10        Dalam Program Transformasi PPD (DTP), JPN Sabah meletakkan sasaran sifar sekolah sekolah band 6 dan 7 menjelang tahun 2015. Alhamdulillah, berdasarkan band sekolah  tahun 2013 dan 2014 bagi sekolah rendah, kita telah mencapai sifar sekolah band 7.  Kini kita mempunyai hanya 9 buah sekolah rendah band 6 berbanding 24 pada tahun 2013. Harapan kita agar keputusan SPM dan STPM akan juga akan memberi kegembiraan berganda kepada kita semua sebagaimana peperiksaan UPSR.

 

11        Sasaran sifar band 6 dan 7 serta peningkatan bilangan sekolah band 1 dan 2 merupakan KPI PPPM dan KPI SPEED  sekaligus menjadi SKT Jabatan. Oleh hal yang demikian, pada tahun ini JPN dan PPD perlu memberikan lebih banyak perhatian, bimbingan dan pemantauan terhadap sekolah-sekolah yang berada pada band 6. PPD yang tidak mempunyai sekolah band 6 pula perlu mengenal pasti skor komposit sekolah yang berada pada kedudukan yang tidak selamat di band 5 agar tidak jatuh ke band 6. Bagi meningkatkan bilangan sekolah band 1 dan 2, JPN dan PPD juga perlu mengenal pasti sekolah-sekolah yang mempunyai skor komposit yang boleh dinaikkan ke band 2 dan band 1. Setiap pengetua dan guru besar perlu mempunyai goal setting untuk meningkatkan Skor Komposit dan Band sekolah masing-masing. Sasaran yang jelas dan tindakan yang tepat tentunya akan mampu mencapai matlamat yang ditetapkan.

 

 

12        Bagi melestarikan transformasi ini, saya ingin memaklumkan beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan iaitu:

 

i)            Visi dan Misi

Semua peringkat perlu mempunyai visi dan misi yang jelas selari dengan visi dan misi KPM. Ianya dinyatakan dalam bentuk KPI yang diterjemahkan dalam  SKT  Pengarah/Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. KPI Pengarah/Jabatan Pendidikan Negeri Sabah hendaklah menjadi KPI Sektor, PPD, pengetua dan guru besar.

 

ii)          Keutamaan (Priority)

Semua pihak perlu menentukan keutamaan program yang berimpak tinggi dan bertindak dengan kadar yang segera berdasarkan prinsip CCTI dan PCI.

 

iii)         Kerja Sepasukan (Teamwork)

Kepemimpinan di setiap peringkat sama ada di peringkat tertinggi sehingga ke peringkat pelaksana berlu berfikir dan bertindak dalam satu pasukan.

 

iv)         Prestasi Pengurusan(Performance Management)

Semua pihak juga perlu menekankan performance management. Sehubungan dengan itu,KPI yang dirancang oleh semua pihak mestilah jelas. KPI yang ditentukan juga mungkin tidak boleh dicapai jika tidak ada langkah-langkah kawalan dalam bentuk pemantauan berterusan. Pemantauan yang rapi dan berorientasikan penyelesaian masalah perlu ditekankan dalam pengurusan. Justeru, semua program utama JPN, PPD dan sekolah perlu menggunakan kitaran PDCA.

 

v)          Keberkesanan Komunikasi

Komunikasi juga amat penting dalam organisasi. Komunikasi dua hala mesti jelas, sama ada komunikasi antara sektor, antara unit dalam sektor, antara unit dalam PPD, antara pengetua dan guru besar dengan guru-gurunya mahupun antara sekolah dengan komuniti. Tuntasnya, semua pihak perlu mengadakan consultation dan engagement.

 

vi)         Fokus Kepada Kemenjadian Murid

Kemenjadian murid perlu menjadi fokus semua peringkat pengurusan. Setiap keputusan yang dibuat hendaklah memikirkan kesannya kepada kemenjadian murid.

 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

13   Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai segala potensi dan kapasiti yang terbaik untuk mengangkat martabat kecemerlangan pendidikan.Sehubungan itu, imej dan wibawa JPN Sabah sebagai organisasi perkhidmatan pendidikan perlu sentiasa diperkukuhkan. Ini boleh dicapai melalui komitmen, disiplin, dedikasi, keikhlasan dan kebijaksanaan kita dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

 

13        Saya mengharapkan tahun 2015 akan menjadikan kita sentiasa berfikir dan bertindak lebih kemas, bersikap lebih kritis tetapi membina, profesional, terbuka dan berlapang dada agar dapat mengenal pasti isu-isu yang timbul di peringkat kepemimpinan masing-masing dan akhirnya dapat membuat keputusan yang betul, menggunakan kaedah membuat keputusan dengan cara yang betul dan akhirnya berupaya mencapai aspirasi kita di peringkat JPN, PPD dan sekolah.

 

Kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi?

Sian Bani Manang.

 

Sekian, Wabillahi Taufik Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.

View My Stats