Perutusan Pengarah

Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah

Isnin, 18 Disember 2017

 

PERUTUSAN
Y. BHG. DATUK JAME ALIP
PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI SABAH
SEMPENA
MESYUARAT PENGURUSAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH
BILANGAN 2 TAHUN 2015
Tarikh : 11 – 13 APRIL TAHUN 2015

MOUNT KINABALU HERITAGE AND SPA, KUNDASANG


 

Bismillahir Rahmaanir Rahiim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia.

 

·       Yang dihormati saudara pengacara majlis

·       Yang Berusaha Puan Hajah Maimunah Haji Suhaibul,

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah

·       Yang Berusaha Encik Aslie Sahat, Ketua Sektor, Sektor Jaminan Kualiti merangkap Ketua Urus setia Mesyuarat

 

·       Yang Berusaha Ketua-ketua Sektor, Ketua Nazir Negeri, Ketua Penolong Pengarah BTPN, Pegawai Pendidikan Daerah

·       Urus setia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.

1.          Syukur Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi  kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama dalam Mesyuarat Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Bil.2 tahun 2015. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga pendidikan atas komitmen dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

2.          Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan, bahawa kita telah menghampiri pertengahan tahun 2015. Dalam kitaran PDCA, tempoh ini biasanya merupakan tempoh untuk kita mengukur pencapaian awal KPI semua program sama ada dalam bentuk ouput mahupun dalam bentuk outcome. Beberapa soalan ingin saya kemukakan dan perlu kita fikirkan bersama:

 

a.   Sejauh manakah pengoperasian program yang dirancang oleh Sektor dan PPD mematuhi SKT dan selaras dengan keperluan KPI Pengarah?

b.  Adakah kita telah melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan agar proses sentiasa dikawal dan  KPI yang ditetapkan dapat dicapai?

3.          Saya mengharapkan semua lapisan kepemimpinan akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik-baik mungkin melalui perancangan yang sistematik dan berfokus bagi merealisasikan hasrat Jabatan untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan Negeri Sabah. 

 

4.          Prestasi cemerlang tahun 2014 membuktikan bahawa melalui usaha gigih, bekerja dalam satu pasukan, berfokus dan melaksanakan strategi yang berkesan, kita mampu mencabar kemustahilan, mencipta keunggulan seterusnya mewariskan legasi. Tahniah dan terima kasih kepada semua lapisan kepimpinan khususnya kepada semua Ketua Sektor, PPD, pengetua dan guru besar serta kepada semua guru yang telah memungkinkan kejayaan ini menjadi realiti.  

 

5.          Tema mesyuarat pada kali ini ialah ”Memaksimumkan Kompetensi, Melestarikan Kualiti”. Tema ini membawa maksud sebagai penjawat awam kita mestilah menggunakan segala kekuatan diri, ilmu dan kemahiran supaya apa yang dilakukan sentiasa membuahkan hasil yang berkualiti. Go go Tambunan, Murid didahulukan Pencapaian Diutamakan, Tambunan sentiasa mendahului….MONOTOS! (Manipulate, Opportunities, Non-stop, Organised, Teamwork, Optimistic and Sagaciosly) merupakan antara contoh slogan PPD yang boleh kita kaitkan dengan tema memaksimumkan kompetensi, melestarikan kualiti. Selain itu, kita ada contoh-contoh slogan lain seperti PPD Telupid BERABIS, PPD Tuaran Number One Menjuarai Perubahan, PPD Kuala Penyu LEADS dan banyak lagi slogan-slogan dari PPD lain membawa maksud kompetensi adalah asas yang perlu dipertingkatkan sehingga tahap optimum agar dapat melestarikan kualiti untuk menjamin lonjakan kecemerlangan pendidikan negeri Sabah.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

6.           Di peringkat Sektor mahu pun PPD, semua staf perlu diupayakan supaya semuanya boleh bekerja dalam satu pasukan, bukan berpasukan. Kerja Sepasukan (Teamwork) membawa maksud kepemimpinan di setiap peringkat sama ada di peringkat tertinggi sehingga ke peringkat pelaksana perlu berfikir dan bertindak dalam satu pasukan. Kepimpinan 360 darjah harus diamalkan supaya semuanya dapat memberikan sumbangan dalam usaha mencapai KPI yang telah ditetapkan. Menurut John Collin Maxwell (2005), pemimpin 360 darjah adalah orang yang mampu mempengaruhi orang di sekelilingnya, yang terdiri daripada orang atasannya (ketua), rakan sejawat, dan orang bawahan. Maxwell menjelaskan bagi memenangi hati sesiapa sahaja, orang itu perlu berpengaruh kerana “pemimpin sebenar adalah pemimpin yang berpengaruh, tidak lebih dan tidak kurang”.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

7.    Baru-baru ini beberapa program besar Jabatan telah berlangsung dengan jaya antaranya Program MEKAR, Majlis Anugerah Kualiti Pengurusan JPN Sabah Tahun 2014 serta Dialog Polisi dan Libat Urus Hukum Rotan. Tahniah kepada sektor yang menjadi urus setia dan terima kasih diucapkan kepada semua sektor yang terlibat berkerjasama menjadi ahli jawatan kuasa program tersebut. Sesungguhnya, kejayaan melaksanakan program tersebut adalah kejayaan kita semua. Tidak dilupakan tahniah kepada Sektor Pembangunan Kemanusiaan dan PPD Kota Kinabalu kerana Naib Johan Asrama 1 Malaysia, Peringkat Kebangsaan di Johor yang mana Sabah diwakili oleh Maktab Sabah.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

8.    Untuk makluman, analisis Band Sekolah Menengah Tahun 2014 bagi band 1 dan 2 telah meningkat 60 peratus bilangannya sejak tahun 2012. Band 6 berlaku pengurangan sebanyak 83.3 peratus sejak tahun 2012 manakala Band 7 sifar bagi tahun 2013 dan 2014. Ini bermakna program pengurangan band 6 dan 7 bagi negeri Sabah telah tercapai melebihi KPI pada tahun 2014. Pada tahun ini, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah meletakkan sasaran band 1 sekolah rendah sebanyak 40 buah sekolah, band 2 sebanyak 212 buah sekolah serta sifar band 6 dan 7. Justeru, marilah kita sama-sama memaksimumkan kompetensi, melestarikan kualiti (hasil / outcome) supaya apa yang kita impikan menjadi kenyataan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

9.    Dapatan Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Terhadap Perakuan dan Syor Laporan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Bil.1/2015 baru-baru ini menuntut pihak kita untuk memberi fokus terhadap dasar-dasar utama seperti PBS, KBAT dan LINUS 2.0. Antara isu yang dikenalpasti ialah masih lagi wujud kekeliruan oleh pemimpin sekolah berkaitan konsep KBAT dan I-THINK. JNJK juga mendapati bimbingan pihak PPD berkaitan KBAT masih belum berkesan. Manakala penerapan KBAT dalam PdP guru dan murid masih pada tahap rendah. Sehubungan dengan ini, pihak JPN/PPD hendaklah meningkatkan kefahaman dan kompetensi pegawai di PPD, pemimpin sekolah dan guru. Selain itu, keberkesanan pemantauan dan bimbingan KBAT oleh pegawai di PPD termasuk SISC+ dan SIPartners perlu dimaksimumkan sesuai dengan tema mesyuarat ‘MEMAKSIMUMKAN KOMPETENSI, MELESTARIKAN KUALITI’.

 

10.   Dalam pelaksanaan PBS, guru di sekolah menengah dan rendah menyatakan mereka masih belum memahami sepenuhnya Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid atau Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran. Sehubungan itu, PPD hendaklah memastikan kepimpinan sekolah membincangkan PBS secara khusus seperti yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Kepimpinan sekolah harus memantapkan pelaksanaan Penjaminan Kualiti Dalaman dan Penjaminan Kualiti Luaran bagi komponen Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) . Pihak sekolah hendaklah memaklum dan membincangkan hasil PAJSK dan PPsi kepada murid, ibu bapa / penjaga.

  

11.   Saya ingin mengingatkan dan menegaskan tuan-tuan dan puan-puan, bahawa pada tahun ini KPI Gred Purata Negeri UPSR JPN Sabah untuk peperiksaan awam ialah 2.20 (65%), SPM ialah 4.70 (92%) dan STPM PNGK 2.60 (95%). Untuk makluman, kita meneruskan KPI yang sama seperti tahun 2014 kerana kita masih belum dapat mencapai KPI tersebut pada tahun lepas. Oleh hal yang demikian, saya meminta semua lapisan kepemimpinan pendidikan dan semua guru agar melipatgandakan usaha, mengatur strategi yang tepat dan merancang serta melaksanakan program-program yang berimpak tinggi bagi merealisasikan KPI tersebut. Kunci dan asas untuk mencapai hasrat ini tentulah terletak pada kualiti PdP guru di bilik darjah dan pengurusan kurikulum yang mapan. Dengan erti kata yang lain, kita perlu kembali ke asas (back to basic) dengan berpegang kepada prinsip Guru Mengajar, Murid Belajar. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

12.   Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai segala potensi dan kapasiti yang terbaik untuk mengangkat martabat kecemerlangan pendidikan.Sehubungan itu, imej dan wibawa JPN Sabah sebagai organisasi perkhidmatan pendidikan perlu sentiasa diperkukuhkan. Ini boleh dicapai melalui komitmen, disiplin, dedikasi, keikhlasan dan kebijaksanaan kita dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

 

13.   Saya mengharapkan tahun 2015 akan menjadikan kita sentiasa berfikir dan bertindak lebih kemas, bersikap lebih kritis tetapi membina, profesional, terbuka dan berlapang dada agar dapat mengenal pasti isu-isu yang timbul di peringkat kepemimpinan masing-masing dan akhirnya dapat membuat keputusan yang betul, menggunakan kaedah membuat keputusan dengan cara yang betul dan akhirnya berupaya mencapai aspirasi kita di peringkat JPN, PPD dan sekolah. Kejayaan kita memperolehi pengiktirafan EKSA oleh pihak MAMPU perlu dimantapkan dan dikekalkan. Kita juga perlu memastikan amalan pembudayaan SKPM 2010 dilaksanakan di peringkat sekolah. Suka saya mengingatkan kepada semua sektor dan PPD bahawa Audit Dalam MS ISO 9001:2008 akan dilaksanakan pada bulan Jun 2015. Semua pihak hendaklah memastikan dokumentasi berkaitan pengurusan kualiti dikemaskini mengikut prosedur yang telah ditetapkan.   

 

Kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi?

Sian Bani Manang.

 

Sekian, Wabillahi Taufik Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.

View My Stats